Berkata Ibnu Abbas (Abdullah bin Abbas) r.a. bahawa Malaikat Jibrail telah menceritakan kisah seorang hamba Allah yang bernama Sam'un Al-Ghazi. Sam'un ialah seorang pahlawan yang memerangi orang kafir selama 1,000 bulan dengan menggunakan senjata iaitu hanya tulang rahang seekor unta.
Dengan senjata tersebut, Sam'un membunuh musuh-musuhnya yang tidak terhitung banyaknya. Apabila dia merasa dahaga, keluarlah air dari gigi tulang tersebut lalu diminumnya. Apabila dia lapar tumbuhlah daging dari tulang tersebut dapatlah dia makan bagi memulihkan tenaganya untuk meneruskan peperangan. Demikian 'karamah' (keramat) yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Orang Kafir telah dikurniakan oleh Allah kepadanya. Orang kafir tidak dapat menglahkannya sehingga usianya mencapai 83 tahun.
Pelbagai cara musuh-musuhnya mencari jalan dan menyelidik kelemahannya untuk menumbangkannya, namun tidak juga mereka temui jalannya. Kebetulan isteri kepada Sam;un masih belum beriman dan masih menganut agama kafir. Kesempatan dan peluang itulah yang digunakan oleh musuh-musuhnya.
Maka musuh-musuhnya pun pada suatu hari datang kepada isterinya menawarkan hadiah berupa harta yang sangat besar sekiranya dia dapat membunuh suaminya Sam'un. Pada mulanya isterinya menyatakan tidak sanggup kerana dia amat memahami tentang kegagahan dan kekeramatan suaminya. Tetapi setelah dipujuk dan ditunjukkan caranya, maka isterinya yang gilakan dunia itu menerima tawaran tersebut.
Isterinya telah diberikan seutas tali supaya Sam'un diberkas sewaktu dia sedang tidur.
Rancangan itupun dijalankan. Apabila waktu pagi setelah Sam'un bangun, ditarinya tali itu lalu putus dengan mudah sahaja.
Sam'un pun bertanya: "Siapakah yang mengikat kedua tangan dan kaki aku?"
"Sebenarnya aku cuba hendak menguji kekuatan kamu," jawab isterinya.
Setelah mendengar jawapan itu Sam'un tersenyum.
Isterinya diberikan hadiah oleh musuh-musuhnya berupa seutas rantai emas kerana hasil percubaannya itu dan diperintahkan supaya mencuba lagi. Walaupun berkali-kali dicubanya, maka berlaku juga sepertimana biasanya.
Isterinya cuba memujuk supaya Sam'un menceritakan rahsia kekuatannya. Sam'un pun menceritakan: "Wahai isteriku! Aku ini adalah waliullah (wali Allah) di antara waliullah-waliullah yang lain. Tidak ada sesuatu di dunia ini yang dapat menundukkan aku kecuali rambutku ini.
Pendedahan yang dibuat oleh Sam'un telah diambil kesempatan oleh isterinya. Pada malam berikutnya ketika Sam'un sedang nyenyak tidur, isterinya dengan diam-diam telah memotong seutas rambutnya yang panjang itu lalu dijadikan tali mengikat kedua tangan dan kaki suaminya.
Apabila Sam'un terjaga pada waktu pagi didapati dirinya telah diikat oleh rambutnya dan dia tidak berdaya hendak melepaskan dirinya lagi. Isterinya pun pergi memberitahu kepada musuhnya supaya datang membunuh Sam'un.
Sebelum Sam'un dibunuh dia dibawa ke tempat pembunuhan di mana telah tersedia tali gantung. Sam'un terseksa sebelum dibunuh dengan dipotong kedua telinganya, dikorek kedua biji matanya, dipotong kedua bibirnya, lidahnya, kedua kaki dan tangannya.
Pada waktu itu turunlah malaikat membawa pertanyaan daripada Allah s.w.t.: "Apakah yang engkau kehendaki Aku lakukan?"
Sam'un menjawab: "Berikanlah aku kekuatan yang dapat menggerakkan tiang rumah ini agar runtuh menimpa mereka, musuh-musuh aku."
Permohonan Sam'un segera dimakbulkan oleh Alah s.w.t., lalu saat itu juga tiang rumah tempat pasungan itu runtuh menimpa dan mematikan semua yang ada di tempat itu termasuk isterinya sekali.
Sam'un telah diselamatkan oleh Allah, anggota-anggotanya telah kembali sepertimana asal dengan izin Allah s.w.t. Itu semua kekuasaan dan kekuatan Allah s.w.t. Allah s.w.t. berkuasa untuk melakukan apa sahaja tanpa izin daripada makhluk tetapi sebaliknya, makhluk tidak boleh berbuat apa-apa untuk melakukan sesuatu tanpa izin Allah s.w.t.
Setelah mendengar cerita itu para sahabat Rasulullah s.a.w. menangis dan masing-masing bertanya: "Ya Rasulullah, adakah engkau mengetahui pahalanya (pahala perjuangan Sam'un) itu?"
"Aku tidak tahu", jawab Rasulullah s.a.w.
Malaikat lalu turun membawa wahyu bahawa Allah s.w.t. berfirman:
"Wahai Muhammad, aku telah memberi kepadamu dan umatmu Lalilatul Qadar. Beribadah pada malamnya itu lebih afdal daripada 70,000 bulan."
Allah berfirman dalam kitab Sanaaniah dalam hadith qudsi:
"Wahai Muhammad, dua rakaat solat pada malam Lailatul Qadar lebih besar pahalanya baginya dan umatmu daripada pahala berperang dengan pedang selama 1,000 bulan di zaman Bani Israel."
Berkata Imam Al-Razi, "Apabila fajar Lailatul Qadar menyinsing, maka berserulah Malaikat Jibril kepada semua para malaikat, bersiap-siaplah untuk berangkat!"
Bertanya para malaikat, "Hai Jibril, apa yang telah dilakukan oleh Allah s.w.t. terhadap para muslimim dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w.?"
Jibril menjawab, "Allah telah mengampuni mereka kecuali empat golongan, peminum arak, penderhaka kpd ibu bapa, pemutus silaturahim dan orang yang suka bertengkar."
Setelah mendengar kisah tersebut, para sahabat merasa cemburu kepada Sam'un, kerana merak tidak mungkin mencapai cukup waktu seperti dia (mengingat umur mereka yang pendek). Dengan adanya kisah ini, maka sebagian ada yang berpendapat bahawa sebab itulah Allah s.w.t menganugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Lailatul Qadar, sehingga mereka dapat mengimbangi amal Sam'un Al-Ghazi.
Sebahagian ulama menerangkan tentang sebab turunya Surah Al-Qadr iaitu kerana telah hampir wafatnya Rasulullah dan telah dekat perpisahannya dengan umatnya, beliau menangis dan berduka cita hatinya. Beliau bersabda: "Apabila aku telah meninggal dunia, maka siapakah yang akan menyampaikan salam Allah s.w.t. kepada umatku?" Maka Allah s.w.t. menggembirakan hati Nabi s.a.w. yang sedang sedih itu dengan firman-Nya: "Turunkanlah para Malaikat dan malaikat Jibril, sehingga mereka menyampaikan salam_Ku dan Aku tidak mencegah (menghalangi) mereka, maka janganlah berduka cita, wahai kekasihKu". (Al Mauidzoh).
Terdapat pelbagai lagi pendapat...
Semoga Allah s.w.t. memberikan kesemapatan kepada kita untuk mendapatkannya dan mampu beramal ibadah pada malam Lailatul Qadar.
Rujukan:
1. Al-Hasyir, A. Masalah-masalah Ibadat Puasa, Hari Raya & Zakat. A-Hidayah
2. Hj. Muhammad Sobari, A. M. . Kesempurnaan Ibadah Ramadhan. Republika
No comments:
Post a Comment