Wednesday, 25 January 2012

APA ITU CINTA?

Ramai yang tahu dan gemar menyebut tentang cinta. Dan ramai yang tahu bagaimana untuk meluahkan kata-kata cinta. Tapi tahukah anda apa itu cinta yang sebenarnya? Di sini saya ingin berkongsi makna apa itu CINTA. 

Sifat Cinta

Cinta itu suci, mahal dan tinggi tarafnya. Sifat cinta itu sempurna. Jika tidak, cinta akan cacat. Itulah CINTA SEBENARNYA CINTA.

Cinta Wujud Sejak Dilahirkan

Rasa cinta sedia wujud di dalam jiwa manusia sejak manusia lahir ke dunia. Cuma manusia akan melalui tahap-tahap kelahiran cinta bermula dari cinta pada belaian ibu, membawa kepada cinta kepada sang kekasih. Dan akhirnya setelah puas mencari cinta suci, maka akan cinta terarah pada Yang Maha Pencipta. Wujudnya cinta itu tidak dapat dilihat tapi dapat dirasa. Dan cinta sebenarnya cinta itu amat suci murni serta putih bersih. 

Cinta Bersedia

Bila sampai masanya di setiap tahap-tahap cinta, maka Tuhan menjadikan manusia itu bersedia menerima cinta, lantas sedia pula untuk berkongsi rasa kewujudan dengan dikasihi. Sedia untuk mengikat setia serta saling memahami. Setia untuk dipertanggungjawabkan kerana cinta. Sedia untuk menyerah diri pada yang dicintai. 

Cinta Itu Indah

Walaupun kewujudan cinta tidak bisa dilihat, tetapi cinta itu tetap dirasai indah dan cantik. Cantiknya tulen dan tidak bertopeng. Bukan saja ia cantik malah suci murni, bercahaya gemerlap dan putih bersih. 

Cinta Itu Mengharap Balasan

Cinta di antara sesama manusia berkehendakkan jodoh atau pasangan hidup dari pihak yang punya keserasian. Bermakna cinta itu menganggap telah menemui insan yang paling sesuai dan secucuk dengan jiwanya untuk sama-sama menyatu dalam sebuah kehidupan. Kehendak itu adalah timbal balik sifatnya kerana manusia dalam aspek cinta tidak sekadar menerima bahkan turut memberi.

Cinta Itu Menakluki 

Sifat cinta ingin menguasai. Dia mahu yang dikasihi itu hanya khusus untuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu dikongsi dan sentiasa menuntut hak untuk mencintai dan dicintai. Tapi hakikatnya, dalam pada ingin menakluki, dia sebenarnya telah pun ditakluki sepenuhnya oleh perasaan cinta itu sendiri.

Cinta Itu Mengetahui 

Asasnya sifat cinta itu mengetahui. Orang yang bercinta tahu siapa yang patut dicintai. Cinta tidak perlu bertanya. Manusia boleh jatuh cinta tanpa membaca ilmiah atau novel tentang cinta. Tapi harus diingat, cinta hanya tahu bercinta. Dia tidak tahu akan peraturan cinta jika diletakkan di atas satu garisan, landasan dan panduan yang betul.   

Cinta Itu Hidup

Proses cinta bermula dari sifat saling ingin mengenali. Cinta kemudiannya berputik, subur dan cantik mekar. Tapi fitrah hidup adalah mati. Kerana itu di suatu ketika, cinta akan tetap layu lalu akhirnya rapuh gugur. Cinta punya deria dan perasaan. Cinta akan mendengar cinta, berkata cinta, melihat cinta. Cinta ada segala-galanya. Sayang, benci, cemburu dan gembira. Sedih, tenang, tertekan, ketawa dan menangis. Cinta terus hidup hingga suatu noktah dan mati. Tapi ramai yang mengharap agar cinta itu kekal selagi nyawa dikandung badan dan hidup walaupun sesudah nyawa melayang. 

Cinta Itu Suci 

Sebagaimana yang banyak diperkatakan orang, sesungguhnya cinta itu adalah suci. Sucinya cinta bermakna ia tidak bernoda dan tidak pula berdosa. Itulah sifat asal cinta. Ia suci bagaikan bayi yang baru dilahirkan. Mereka yang memahami hakikat cinta yang sebenarnya akan cuba mengekalkan kesucian cinta bermakna menjauhkan ia dari godaan nafsu yang tidak ada batasan. Demi kesucian cinta seing kalinya  ternoda oleh nafsu dan godaan syaitan. 

Cinta Itu Mempesona

Cinta itu bukan sekadar indah bahkan mempersona. Bukan kerana cinta itu nakal sifatnya tapi kerana ia suci dan bersih. Ia sebagaimana anda melihat pada anak kecil yang agak nakal tapi comel dan amat menyenangkan. Dia tersenyum manis dan merapati anda. Pastinya anda terpesona. Bukan saja kerana ianya comel tapi anak kecil itu adalah insan suci dan tak punya dosa. Dan kerana sifat cinta yang mempersonakan ini sering membuat manusia berbuat silap dalam bercinta. 

Tak dinafikanjiwa cinta akan tetap mengiakan apa jua yang dilakukan oleh sang kekasih. Semuanya tampak mempersona, cantik dan benarl walaupun ianya ternyata suatu dosa yang bakal menodai cinta itu sendiri. Itulah  yang menyebabkan insan yang bercinta itu menjadi tolol walhal dia sebenarnya seorang yang bijaksana. Akal cinta memang mampu ditewaskan oleh nafsu. Nafsu pula tak bisa dikalahkan kecuali jika anda sentiasa ingat kepada TUHAN Maha Pencipta. 

Apa Itu Bukti Cinta?

Cinta perlukan bukti. Tapi bukan hingga ke tahap mengorbankan apa saja demi memenuhi kemahuan insan yang dicintai. Jika anda berikan semua yang dia mahu, apakah yang tinggal pada anda? Cinta sejatikah namanya jika dia menuntut pengorbanan yang bukan-bukan? Ingatlah...cinta sejati tidak memusnahkan atau merosakkan diri insan yang dicintai. Malah ia seharusnya bertanggungjawab dan menjaga agar kekasihnya tetap selamat dan suci sebagaimana sucinya yang sama-sama dibinadan dimiliki. 

Sumber dari Biru Ungu Cintaku terbitan alaf 21. 

No comments:

Post a Comment

Daisypath Graduation tickers